Mainkan Hati dan Perasaan Rakyat Pasti Membawa Padah!

source: http://kickdefella.wordpress.com/2008/03/14/mainkan-hati-dan-perasaan-rakyat-pasti-membawa-padah/

March 14, 2008 · 6 Comments

 

Barisan Pembangkang harus sedar, memainkan hati dan perasaan rakyat pasti membawa padah.

Abdullah
Ahmad Badawi pernah berkata, “Saya Pantang DiCabar!”. Cuma pada waktu
itu, Abdullah tidak sedar bahawa rakyat juga pantang dicabar. Abdullah
Badawi apabila dicabar bertindak menyembur air berkimia dan memukul
rakyat dengan belatan serta menghumban sesetengah daripada mereka ke
dalam lokap kerana mencabarnya.

Nasib
baik, rakyat lebih rasional dari Abdullah. Apabila rakyat dicabar,
rakyat bertindak memberi undi mereka kepada sesiapa sahaja asalkan
bukan Dacing.

Hari
ini, nampaknya permainan yang sama telah dimainkan oleh DAP menerusi
Ketua Menteri Pulau Pinang, menerusi Lim Kit Siang dan menerusi Teressa
Kok. Saya cuma menanti untuk mendengar mereka berkata pula, Kami
Pantang Di cabar!.

Sepanjang
beberapa hari menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng telah
melakukan apa sahaja untuk mencabar rakyat yang senyap dan inginkan
keamanan. Lim Guan Eng mengambil tindakan membatalkan saman tertentu
kepada rakyat. Tetapi saya ingin bertanya, rakyat mana yang mendapat
habuan dari penghapusan saman itu? Rakyat yang baik, yang berdisiplin
dan cintakan keamanan jarang sekali melanggar apa sahaja undang-undang.
Rakyat itu walau disaman, mereka akan berusaha membayar saman kerana
mereka sedar itu adalah hasil negeri. Saman yang mereka bayar itulah
antara hasil yang akan digunakan pula untuk kebaikan mereka.

Mereka
yang disaman di atas sebab tidak mematuhi undang-undang dengan segaja
haruskah diberi insentif dengan membatalkan saman mereka?

Lim
Guan Eng dengan berani mencabar sesetengah pihak dengan mengumumkan
pendirian negatifnya terhadap Dasar Ekonomi Baru. Sedangkan rakyat umum
terutamanya orang Melayu sendiri tidak ramai yang menikmati habuan
Dasar Ekonomi Baru. Masalahnya bukan terhadap polisi atau dasar
tersebut, masalahnya adalah bagaimana dasar itu dimanipulasikan oleh
pihak tertentu untuk mengkayakan suku sakatnya sahaja. Siapakah antara
yang menikmati habuan terbesar Dasar Ekonomi Baru? Apakah mungkin
beberapa taukeh-taukeh cina sebenarnya yang menikmatinya.

Lim Guan Eng bertindak membakar kelambu hanya kerana beberapa ekor nyamuk yang berjaya menghisap darah.

Nampaknya,
hari demi hari, barisan Pembangkang semakin lari dari berdiri sebagai
Barisan Rakyat sebaliknya kembali kepada ideologi mereka. Sehinggakan
ada khabar angin bahawa ia memerlukan ugutan DiRaja untuk menghalau
mereka keluar dari negeri dalam tempat 24 jam barulah mereka terngadah.

Sesetengah
Pemimpin DAP nampaknya dengan jelas sudah tidak lagi releven dengan
Perjuangan Rakyat. Berkali-kali mereka diingatkan oleh rakyat bahawa
mereka meraih kemenangan dan kejayaan ini bukan sebab perjuangan mereka
mahu menamatkan DEB atau perjuangan mereka menegakkan ideologi mereka.
Mereka menang kerana ramai yang sebelum ini mengundi BN merasakan
beberapa kerat pemimpin BN sudah terlalu angkuh dan tidak lagi berpijak
dibumi nyata. Mereka ini bertindak mengalihkan undi mereka tetapi bukan
kesetiaan mereka kepada pembangkang. Tindakan mereka ini hanyalah satu
protes.

Mereka
ini tidak mahu Pembangkang memerintah Malaysia. Mereka mahu
mengurangkan majoriti BN dan kalau boleh tidak memberikan majoriti 2/3
lagi kepada BN. Mereka berharap tindakan ini akan menyedarkan BN dan
apabila kesedaran ini wujud dikalangan pemimpin BN, maka
pemimpin-pemimpin yang tidak disukai rakyat itu akan disingkirkan dan
menjadikan BN kembali releven kepada perjuangan rakyat.

Kesedaran
ini telah mula menimbulkan kesan. YB Mukhriz Mahathir semalam telah
dengan berani mengutus surat kepada Abdullah Ahmad Badawi meminta
Abdullah berundur. Samy Vellu dan Ong Ka Ting, serta Gerakan pula telah
mengambil langkah segera menjernihkan semula keadaan. Nazri Aziz hari
ini mengeluarkan kenyataan yang mengingatkan semula saya kepada Nazri
Aziz yang pernah lantang memperjuangkan hak rakyat.

BN
bergerak pantas cuba memulihkan keadaan sedangkan di dalam waktu yang
sama, Barisan Pembangkang belum berani membuktikan mereka adalah
Barisan Rakyat.

Rakyat senyap cintakan elemen romantisme dan bersikap sentimental. BN faham itu semua.

Nampaknya,
tekanan sekarang semakin besar mencabar barisan pembangkang berbanding
dengan tekanan yang mencabar BN. Di dalam perlumbaan ini, jika barisan
pembangkang tergelincir lagi, BN pasti akan jauh ke hadapan. Apabila BN
kembali jauh ke hadapan dan mula mengikuti kehendak rakyat, maka,
barisan pembangkang akan mula menjadi tidak releven bagi rakyat dan
hanya kekal releven kepada penyokong dan ahli-ahli mereka sahaja.

Kecenderungan
saya bukan kepada Pembangkang. Kecenderungan saya adalah kepada sesiapa
yang pada penilaian saya membawa kebaikan kepada Malaysia. Kalau anda
boleh menerima saya menyepak Abdullah, maka, pembangkang yang mangakui
diri mereka Barisan Rakyat juga harus menerima diri mereka disepak.
Janganlah mengata dulang paku serpih. Mengata Abdullah, kita yang yang
lebih.

Saya
bersyukur, kerana sehingga kini, PAS bangkit dengan kematangan di dalam
agenda pasca PRU12. Mungkin pengalaman 18 tahun di Kelantan serta
pengalaman menang dan terlucut semula Terengganu menampakkan kematangan
di dalam PAS. Pengalaman itu sudah tentu berharga kepada Rakyat Kedah
yang kini ditadbir oleh Kerajaan Rakyat.

Tetapi
kita harus juga ingat pengalaman Perikatan bangkit dari kekecewaan 1969
dan menjenamakan semula diri mereka sebagai BN. Segelintir dari
kepimpinan waktu itu, masih ada di dalam UMNO. Mereka juga mempunyai
pengalaman yang berharga.

Apa
yang amat penting bagi rakyat Malaysia, ialah pengalaman yang ada pada
UMNO dan yang ada pada PAS itu digunakan oleh kedua-dua parti ini untuk
membawa kejayaan kepada Malaysia. Tiada yang lebih penting dari melihat
Malaysia berjaya.

Malaysia berjaya bukan untuk Najib, Husam, Lim Guan Eng atau Anwar. Malaysia berjaya adalah untuk kita.

Leave a Reply