Jangan Besar Kepala
source: http://ketuaperusuh.wordpress.com/2008/03/13/jangan-besar-kepala/
Peringatan ini ditujukan kepada semua pimpinan PAS, PKR dan DAP (atau lebih dimesra digelar Barisan Rakyat) disegenap peringkat.
Anda telah mendapat undi kepercayaan dari segenap lapisan masyarakat
Bangsa Malaysia (tanpa mengira kaum) dalam Pilihanraya Umum Ke-12
(PRU12) kali ini samaada dengan undi yang bertambah mahupun dengan
kadar undi yang sama seperti pilihanraya yang sebelumnya. Oleh itu
sebenarnya kemenangan yang anda perolehi adalah hasil usaha undi dari
semua Bangsa Malaysia dan tidak sewajarnya anda melakukan
perkara-perkara seperti yang disebutkan dibawah ini.
1. Anda tidak sewajarnya berprasangka bahawa kemenangan yang anda dapat ini kerana anda memang popular.
2. Anda tidak sewajarnya berprasangka bahawa kemenangan yang anda dapat ini kerana penyokong anda sahaja yang mengundi anda.
3. Anda tidak sewajarnya berprasangka bahawa kemenangan yang anda dapat
ini kerana janji-janji kosong yang anda taburkan semasa berkempen.
4. Anda tidak sewajarnya berprasangka bahawa kemenangan yang anda dapat ini kerana prinsip yang anda dokongi.
5. Anda tidak sewajarnya berprasangka bahawa kemenangan yang anda dapat ini kerana kaum anda menyokong penuh perjuangan anda.
6. Anda tidak sewajarnya berprasangka bahawa kemenangan yang anda dapat
ini membolehkan anda mengubah sesuka hati segala undang-undang negeri @
negara dan membelakangi Paduka Sultan dan Raja-Raja Melayu.
7. Anda tidak sewajarnya berprasangka bahawa kemenangan yang anda dapat
ini membolehkan semua tindakan anda mendapat sokongan Bangsa Malaysia
tanpa “check and balance”.
Namun anda sewajarnya mengambilkira semua pandangan rakyat (Bangsa
Malaysia) yang telah meletakkan anda ditempat anda sekarang ini. Oleh
itu anda amat wajar berhati-hati mengeluarkan pandangan anda (walaupun
parti anda memerlukan anda berbuat demikian) kerana jika tidak pastinya
anda dan parti anda akan tersungkur pada PRU13 akan datang.
Bangsa Malaysia kini telah matang dan tidak membezakan kaum dan
pegangan agama. Oleh yang demikian jika sekiranya anda masih lagi
berpegang dengan cara pemikiran lama, anda dan parti yang anda dokongi
wajar ditolak oleh semua Bangsa Malaysia. Anda perlu ingat bahawa dalam
kemenangan anda ada undi dari kaum-kaum yang lain (Melayu, Cina, India
dan lain-lain).
Ingat, anda cuma ada masa 4 tahun atau lebih sahaja untuk membuktikan bahawa anda masih relevan dalam politik Malaysia.
Akhir kata, kami (Bangsa Malaysia) boleh menaikkan anda ditempat anda
berada sekarang dan kami (Bangsa Malaysia) juga boleh menurunkan anda
dari tempat anda berada sekarang.
“WE CAN HIRE AND WE CAN FIRE”