Sejak akhir-akhir ni, agama Islam cenderung dilihat sebagai satu agama yang dipenuhi kemarahan, kezaliman, fahaman extremis, tidak toleran kepada penganut agama lain, dan sebagainya. Lebih teruk lagi, apabila ada sesetengah pendakwah yang suka menggunakan pendekatan penyeksaan Allah pada mana-mana hambaNya yang engkar sebagai taktik mudah untuk "melembutkan" mereka yang tak ambil pusing tentang agama. Seolah-olah macam itu saja sifat yang Allah ada. Memang benar yang balasan Allah atas dosa-dosa yang kita semua telah lakukan adalah keras dan terbayang seksanya. Itu adalah benar.
Walaubagaimanapun, kita sebagai manusia ada kecenderungan untuk lupa akan ketakutan yang dialami apabila stimulan itu dah tak ada depan mata (contohnya ustaz tu dah balik, atau dah lama tak jumpa ustaz tu dsbnya). Jadi bila dah hilang rasa takut, perangai tak elok lama keluar balik.
Jadi di sini saya rasa patutnya ditekankan tentang sifat Allah yang Maha Pemurah, dan Maha Pengasih. Cuba kita fikirkan, kalau Allah nak kita ingat dia sebagai Yang Maha Pemarah, dan Maha Menyeksa, kenapa setiap permulaan surah al-Quran dimulakan dengan Bismillahirrahmanirrahim, yakni bermaksud "Dengan menyebut nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang", atau dalam bahasa Mat Salehnya, "In the name of Allah, the Most Gracious, the Most Merciful"?
Bukankah ini satu tanda bagi sesiapa yang mahu berfikir yang Allah mahu kita melihatNya sebagai Tuhan yang Maha Pemurah, dan Maha Pengasih terlebih dahulu? Ini kerana sifat ini boleh menerbitkan Cinta di antara Allah S.W.T dengan hamba-hambaNya (kita semua la). Seperti yang kita semua tahu, apabila kita dah cinta sesuatu atau seseorang, kita rasa lebih seronok untuk mendekati perkara atau manusia tersebut. Apatah lagi kalau dah cinta dengan Allah S.W.T ye tak?
Walau macammana bahagia dan lama pun cinta sesama manusia itu, satu hari mereka tetap akan kena cakap "GOODBYE" dan berpisah. Perpisahan yang paling "ultimate" ialah tak lain dan tak bukan, kematian. Sesungguhnya perpisahan itu adalah sesuatu yang menyakitkan dan meruntun jiwa. Tetapi saya ada good news! Allah tak akan mati, dan akan kekal selama-lamanya.
Maka cinta ikhlas kepada Allah tak akan menyakitkan hati kita, berbanding
dengan cinta sesama manusia yang sifatnya tidak kekal.
Bukan saya nak kata kita tak perlukan cinta dunia ni. Saya terutamanya, rasanya tak sempurna hidup kalau tak ada teman. Kalau nak hidup sorang-sorang macam Rambo, tu bukan manusia kot.Tapi kita perlu ingat, bahawa sebaik-baik cinta adalah cinta Allah pada kita semua ni yang entah ingat, entah tidak pada Dia.
Terpulanglah. Fikir-fikirkan lah. Semoga amalan kita sehari-hari dapat mendekatkan kita semua pada Allah S.W.T. Apa kata kita mulakan dengan sebutan "Bismillahirrahmanirrahim"?
p/s Jemput baca artikel kat bawah ni. Ia lebih bernas berbanding penulisan saya yang kurang berilmu ni.
Tajdid Iman: Tanda pencipta mencintai manusia
APABILA rakyat mencintai rajanya, hal itu perkara lazim dilakukan.
Bagaimanapun, suatu hal sungguh menyentuh hati ialah apabila seorang
raja mengasihi rakyat tanpa pilih kasih. Sanggup berdebu dan menjejak
tanah, memberi apa diminta dan mendengar setiap rintihan dengan hati
paling lembut kepada rakyat.
Begitulah cinta Allah kepada hamba-Nya. Maha Agung dan
Perkasa itu mengisytiharkan kedudukannya yang amat dekat kepada
hamba-Nya. Firman Allah bermaksud: “Dan apabila hamba-Ku bertanya
mengenai Aku, maka (jawablah) sesungguhnya Aku dekat. Aku memakbulkan
permohonan orang yang berdoa apabila dia meminta kepada-Ku.” (Surah
al-Baqarah, ayat 186)
Sesungguhnya apabila Allah mencintai hamba-Nya, ia dapat
dilihat dengan jelas dan dirasa melalui hati bersih. Ketika Allah
mencintai seorang hamba, maka jatuhlah ke dalam hati hamba itu ilham
suci yang membuat dia mengenali tanda kecintaan-Nya.
Ada beberapa tanda yang boleh dirasa oleh hati manusia antaranya:
l Tanda Allah mencintai seseorang ialah apabila dia menjadi
begitu berminat dengan ibadah. Adakalanya sesetengah orang berusaha
sekuat-kuatnya untuk beribadah, hatta melebihi kapasiti diri sebagai
insan lemah. Tujuannya hanya satu iaitu mahu mencintai Allah.
Tetapi ibadahnya seolah-olah kosong tanpa rasa, tawar tiada
kemanisannya, semangat imannya maju dan mundur, turun dan naik,
akhirnya tenggelam pula dipukul arus dunia. Ketika beribadah semestinya
seseorang mampu menghadirkan keyakinan bahawa saat itu Allah mencintai
dirinya.
Pernahkah kita menikmati sujud yang panjang sambil menghadirkan dalam
hati bahawa saat itulah Allah mengisytiharkan nama kita sebagai orang
dicintai-Nya?
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jika Allah
mencintai seorang hamba maka Ia berfirman: Wahai Jibril sesungguhnya
aku mencintai si polan maka cintailah dia.” (Riwayat Imam Ahmad)
Maka orang yang yakin bahawa Allah mencintai dirinya tidak
pernah rasa was-was adakah ibadahnya diterima atau tidak? Jauh sekali
rasa takbur kerana dia yakin yang menolongnya untuk melakukan ketaatan
adalah Allah juga. Bukan kerana kehebatan dan kewarakan, melainkan
Allah yang menuntun ke jalan takwa.
Kemudian dia sampai kepada satu makrifah mendalam mengenai
Allah iaitu cinta Allah kepada hamba-Nya jauh lebih agung daripada
cinta sesama insan. Manusia boleh mengkhianati ibu bapanya atau anak
dan isterinya, kawan atau kekasih atas alasan tidak mendapat keuntungan
daripada perhubungan itu. Tetapi cinta Allah kekal tidak pernah luntur
walaupun dicabar oleh sepak terajang hamba derhaka.
l
Tanda Allah mencintai seseorang ialah apabila maksiat membuat dia
bangkit mendekati Allah. Adakalanya dosa boleh mendatangkan manfaat
iaitu apabila dosa itu akhirnya membawa kepada keinsafan, taubat dan
istighfar.
Kemudian seseorang bangkit mengejar Allah, berusaha
mendapatkan hatinya yang hilang di belantara maksiat. Ia sama sekali
tidak berputus asa daripada rahmat Allah. Ia sentiasa mengingati janji
Allah Yang Maha Pengampun.
Firman Allah bermaksud: “Katakanlah: Wahai hamba-Ku yang
melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, jangan kamu berputus asa
daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa semuanya.
Sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Dan kembalilah
kamu kepada Tuhanmu, dan berserah dirilah kepada-Nya sebelum datang
azab kepadamu Kemudian kamu tidak dapat ditolong (lagi).” (Surah
al-Zumar, ayat 53-54)
Janganlah kerana dosa semalam seseorang menyangka Allah
tidak sudi mendengar rintihannya, terputus tali langit di hatinya,
tertolak segala doanya dan terusir dia daripada pandangan Allah.
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Demi Tuhan yang diriku berada dalam
genggaman-Nya. Seandainya kamu tidak berdosa nescaya Allah akan
mematikan kamu. Kemudian Allah akan mendatangkan satu kaum yang
melakukan dosa dan mereka memohon keampunan kepada Allah lantas Allah
mengampuni mereka.” (Hadis riwayat Imam Muslim)
Hamba yang taat apabila perangainya berubah menjadi iblis
pun Tuhan tetap menunggu, di setiap malam rintihan hamba itu diintip
hingga ia pulang kembali ke sisi-Nya. Rasulullah SAW bersabda
bermaksud: “Tuhan kita turun ke langit dunia pada waktu malam tatkala
tiba sepertiga malam yang akhir lalu berfirman: Siapakah yang berdoa
kepada-Ku nescaya aku terima, siapakah yang meminta kepada-Ku nescaya
Aku beri dan siapakah yang meminta ampun nescaya Aku ampuni.” (Hadis
riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Mengapa Allah masih mencari hamba-Nya yang jahat, membangkang
dan suka berpaling dengan sombong? Kecintaan apakah itu yang boleh
memaafkan sekeji-keji dan sehina-hina manusia? Betapa lembutnya Allah
dan Maha Pengasih lagi Penyayang kepada makhluk-Nya.
Dengan cinta-Nya ditutupi segala aib hamba yang hina,
memberi peluang berjuta kali dan menangguhkan seksa untuk tetap setia
menunggu di langit dunia, bilakah agaknya hamba-Nya ini mahu
membersihkan diri.
Saat Allah mencintai seseorang, tempat pertama menerima
sentuhan cinta itu ialah hati mereka. Di situlah Allah lenyapkan segala
rasa putus asa dan kesedihan akibat dosa mereka kemudian diganti dengan
harapan dan keinginan untuk berubah menjadi insan bersih. Hati kita
seeloknya selalu berbisik: “Aku tahu bila Allah mencintaiku, iaitu saat
aku membenci segala kejahatanku.”
l Tanda Allah mencintai seorang hamba ialah apabila dilapangkan dadanya menerima ilmu yang menjadi petunjuk ke jalan benar.
Allah tidak sesekali membiarkan seseorang insan terkapai-kapai
dalam lautan dosa. Bahkan dikirim ke atas hati manusia petunjuk
hidayah-Nya supaya manusia terselamat daripada gelombang keganasan
dirinya sendiri.
Manusia dibekalkan hati, perasaan, akal dan fikiran untuk
membezakan mana baik serta yang keji. Tidak cukup dengan itu, diutuskan
juga Rasul, diturunkan al-Quran, dilahirkan pejuang agama-Nya terpilih
untuk menerangi kegelapan seraya berdakwah fisabilillah.
Allah juga menjaga pusaka peninggalan Rasul iaitu ilmu
Islam, menjaga al-Quran daripada pencerobohan manusia dan mewariskan
sunnah Rasul-Nya supaya menjadi ikutan. Baginda SAW bersabda bermaksud:
“Apabila Allah mencintai seseorang maka ia membuatnya faham mengenai
agamanya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Penulis ialah pendakwah dari Sarawak dan boleh dihubungi melalui Juanda@msu.edu.my